CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 12, 2008

Sisi gelap masyarakat dalam Patung Kertas

BANYAK kisah kehidupan yang belum dipaparkan kepada umum, terutamanya menerusi medium pementasan teater. Bagaimanapun, bukan semua subjek serta nilai kehidupan itu mudah untuk diadaptasi dan dipentaskan kepada umum.
Banyak rintangan yang perlu dilalui dan disesuaikan dengan keadaan sosiobudaya sesebuah tempat.
Apatah lagi, jika sesuatu cerita yang hendak dipaparkan itu merupakan suatu ‘tabu’ dan bertentangan pula dengan norma-norma budaya sesebuah masyarakat.
Perkara itulah yang berlaku pada naskhah Patung Kertas apabila pementasan teater tersebut menghadapi pelbagai rintangan sebelum ia dipentaskan.
Naskhah arahan Lokman Ghani itu bakal dipentaskan di Dewan Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur (KL) mulai 25 hingga 30 April ini.
Teater terbitan Karya Prima Productions Sdn. Bhd. itu pada mulanya menghadapi kesukaran untuk mendapat kelulusan pementasan.
Kesukaran kelulusan pementasan teater itu antara lain kerana ia mengisahkan tentang suka duka golongan mak nyah dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka seharian.
Menurut Lokman, Patung Kertas yang asalnya merupakan skrip drama televisyen (TV) berjudul Lelaki Lembut itu sepatutnya dipentaskan di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sayangnya, DBKL telah menolak untuk kami mementaskan teater itu. Mereka (DBKL) juga menyuruh kami supaya mengubah semula skripnya.
Namun, masalah itu tidak menghalang Lokman untuk terus mementaskan Patung Kertas selepas skrip tulisan Wahid Nasir itu dirombak semula.
Antara rombakan itu daripada segi jalan cerita dan sedikit dialog yang mungkin boleh memberi persepsi negatif kepada para penonton.
Bagaimanapun hasrat itu termakbul juga akhirnya apabila pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan membantu menaja pementasan teater itu yang telah diubah jalan ceritanya.
Jelas beliau, kalau boleh dia mahu memaparkan kehidupan sebenar golongan mak nyah secara lebih menyeluruh. Pendekatan itu secara tidak langsung membolehkan masyarakat memahami kehidupan sebenar mak nyah.
Pendekatan dan pencetusan idea Lokman itu dalam erta kata ‘seni’ memang tidak ada salahnya.
Apatah lagi, seni termasuklah medium teater boleh dijadikan alat untuk memaparkan keadaan sebenar apa-apa juga realiti kehidupan yang berlaku dalam masyarakat.
Namun, adalah merugikan apabila teater gagal disempurnakan sebagai medium untuk mengangkat sesuatu cebisan kehidupan dalam bentuk seni yang halus.
Seni dalam erti kata mampu memberi hiburan selain menyelitkan unsur-unsur pengajaran yang mampu membina pemikiran. Sama seperti disiplin lain, naskhah itu juga sarat dengan mesej-mesej yang berunsur kemasyarakatan.
“Sisi perlakuan dan imej mak nyah itu suatu pandangan yang berbeza. Tetapi teater ini turut menampilkan mesej-
mesej yang baik. Antaranya keperluan membantu mak nyah,” katanya.
Soal isu yang berkait rapat persepsi dan pengaruh negetif ekoran pementasan teater itu mungkin bukan lagi isu berbangkit.
Relevan
Sesuai dengan perkembangan pendidikan dan kematangan rakyat negara ini yang semakin meningkat maju, isu itu mungkin tidak lagi relevan.
Persoalannya, berapa ramai penonton yang akan terpengaruh untuk menjadi mak nyah, hanya dengan menonton teater seperti ini?
Suatu ketika dulu, industri perfileman kita juga agak jumud apabila terlalu menghalang adegan-adegan ngeri dalam filem-filem seram tempatan.
Tetapi kini nampaknya Lembaga Penapisan Filem (LPF) semakin terbuka dengan peraturan yang pernah mereka wujudkan itu.
Fenomena itu berubah apabila pemikiran, pendidikan dan pendedahan di kalangan penonton di negara ini semakin berkembang jauh.
Malah, tambah Lokman Patung Kertas bukan setakat menyampaikan mesej-mesej yang positif tetapi teater itu juga dipentaskan bagi tujuan amal.
“Asalnya teater ini mahu memaparkan tentang kesan virus HIV. Tujuan asalnya juga mahu membantu para pesakit AIDS.
“Tetapi apabila jalan ceritanya berubah kepada usaha untuk menyelamatkan seorang pesakit jantung, maka kami akan salurkan sumbangan itu khusus untuk pesakit jantung,” ujarnya.
Teater yang dipentaskan berkonsepkan muzikal ini merupakan antara karya yang terbaru memaparkan tentang dunia mak nyah.
Kira-kira lima tahun lalu, pengarah Osman Ali contohnya, pernah memaparkan realiti kehidupan mak nyah menerusi filem pendek arahannya berjudul Buka Api. Bagaimanapun ia tidak banyak mencetuskan kontroversi dan tentangan daripada pihak-pihak tertentu.
Berbeza dengan Patung Kertas kerana ia akan dipentaskan kepada umum tanpa had batas usia.
Antara pelakon yang akan menjayakan teater ini ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Zuhairi, Along Fariz, Ebby Yus, Felina Chuah, Ashraf, Aishah Atan, Shajiry serta penampilan istimewa Syed Wafa dan Hanif Abdul Ghani.
Teater yang dinaungi oleh penyanyi Noryn Aziz itu mengisahkan tentang Abang Long (lakonan Jalaluddin Hassan) bergabung bersama rakan-rakannya seperti Adik Chu, Kerry dan Syam.
Mereka menubuhkan kumpulan paper dolls dan mengadakan promosi untuk persembahan mereka yang berkonsepkan lagak primadona.
Dalam pada itu, pelbagai konflik timbul apabila terdapat kumpulan paper dolls yang lain bersaing kerana berebut kawasan sesama mereka.
Dalam keributan itu, kumpulan Abang Long sempat melakukan sesuatu bagi membantu menyelamatkan seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung.
Teater yang akan dipentaskan dengan durasi sejam setengah ini akan mengenakan harga tiket RM50 dan RM30.

0 comments: