CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Tuesday, March 18, 2008

Psikologi kanak-kanak dalam Painted Rain


LAKONAN Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin (kanan) yang melakonkan watak Teddy jelas menggambarkan perwatakan kanak-kanak generasi baru.


PAINTED Rain bukanlah sebuah naskah kompleks dan rumit. Sebaliknya, ia cuma sebuah karya pendek yang dipetik daripada buku Short Plays karya penulis muda Amerika Syarikat, Janet Allard.
Buku tersebut hanya menghimpunkan beberapa naskah ringkas. Namun begitu, setiap karya dalam Short Plays kaya dengan pelbagai tema yang menarik khususnya aspek terapi kanak-kanak.
Kelahiran Painted Rain bukanlah dari sebuah ruang imaginasi semata-mata. Allard menggarapnya dengan begitu berkesan hasil daripada pengalaman ibunya yang merupakan pakar dalam bidang tersebut.
Mungkin Allard dan karyanya tidak popular di negaranya, tetapi tidak bermakna koleksi Short Plays dan Painted Rain bukan sebuah karya yang tidak bermutu - ada nilai-nilai estetika yang cukup kuat.
Isu yang cuba diangkat ke permukaan dalam Painted Rain ialah tentang pembentukan jiwa kanak-kanak dalam konteks ruang perkembangan kognitif.
Kekuatan itulah yang cuba dibongkar oleh pelajar Jabatan Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, baru-baru ini melalui pementasan adaptasi.
Sebenarnya tanpa disedari oleh Allard dan pelajar tahun dua Jabatan Teater Aswara, Nawfal Mohd. Zamri sebagai pengarah Painted Rain ialah perbincangan tentang kenyataan perkembangan kognitif oleh Jean Piaget.
Piaget merupakan ahli falsafah, ilmuwan dan ahli psikologi perkembangan berketurunan Swiss. Beliau terkenal kerana mengemukakan hasil penelitiannya tentang anak-anak serta teori perkembangan kognitifnya.
Beliau juga merupakan perintis besar dalam teori konstruktif tentang pengetahuan selain berjaya memperluaskan konsep perkembangan kanak-kanak oleh ahli psikologi, James Mark Baldwin.
Dalam penelitian tersebut, Piaget mengemukakan tahpa-tahap pembentukan remaja kepada tahap bayi, prasekolah, kanak-kanak dan remaja.
Masing-masing pada tahap ini dicirikan oleh struktur kognitif umum yang mempengaruhi semua pemikiran kanak-kanak (suatu pandangan strukturalis yang dipengaruhi oleh ahli falsafah Immanuel Kant).
Jadi, perkembangan dari satu tahap ke tahap yang lainnya disebabkan oleh terkumpulnya kesalahan di dalam pemahaman kanak-kanak tentang persekitaran - akhirnya menyebabkan suatu tingkat ketidakseimbangan kognitif yang perlu ditapis oleh struktur pemikiran.
Sama seperti pendapat Piaget, apa yang diketengahkan oleh Allard menerusi watak Dustin dan Teddy dalam Painted Rain ialah perwatakan kanak-kanak yang sentiasa penuh dengan sikap ingin tahu serta memerlukan bimbingan orang dewasa.
Jiwa kanak-kanak yang berkembang seiring dengan tumbesaran fizikal dan mental mereka merupakan cabaran kepada sesebuah institusi keluarga.
Selaku pengarah Painted Rain, Nawfal tertarik untuk mementaskan karya tersebut kerana jalan ceritanya yang dekat dengan dirinya. Meskipun pementasan itu sebagai suatu pra-syarat pengajiannya tetapi mesej naskah tersebut dekat di hatinya.
Menurut Nawfal, teater Inggeris itu juga berjalan seiring dengan pengalaman-pengalaman yang pernah dilaluinya sebelum ini.
“Sebelum ini, saya pernah menjadi guru tadika selama setahun setengah. Saya juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan di Rumah Kanak-Kanak Nur Salam Chow Kit dan Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Tengku Budriah.
“Sebab itu saya rasa jiwa saya dekat dengan permasalahan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui sebelum Painted Rain dipentaskan.
Kata Nawfal, buku Short Plays diperoleh ketika dia berkunjung ke sebuah kedai buku di ibu negara awal Januari lalu dan Painted Rain yang dimuatkan menerusi buku itu begitu menarik minatnya.
“Saya hubungi Janet kerana mahu meminta kebenaran untuk mengangkat naskah tulisannya itu ke pentas teater.
“Selepas hampir sebulan menunggu, beliau kemudiannya memberi kebenaran kepada saya untuk mementaskan karyanya itu,” ujarnya.
Pelakon-pelakon yang mementaskan Painted Rain ialah ialah Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin selaku Teddy, Christopher Daniel (Dustin) dan Nur Syahida Marzuki (Barbara).
Tambah Nawfal, selaku penulis Painted Rain, Janet Allard juga terharu apabila ada pelajar sepertinya yang mahu mementaskan karya tersebut.
“Oleh kerana Janet tahu saya seorang pelajar, jadi dia tidak kenakan sebarang bayaran apabila saya kemukakan niat saya mahu mementaskan teater ini.
“Malah, Janet turut mendedahkan bahawa watak Barbara dalam karyanya itu merupakan kisah sebenar yang dilalui oleh ibunya, Barbara” katanya.
Teater itu antara lain memaparkan tentang watak Dustin yang liat untuk berdikari tetapi begitu bergantung kepada kerusi rodanya.
Persoalan-persoalan ini diperlihatkan oleh Allard melalui watak dua remaja iaitu Dustin, 16, yang lumpuh kedua kakinya dan Teddy, 11 dalam Painted Rain.















0 comments: